DOC

Teori Moral

By Dennis Murphy,2014-05-09 22:41
11 views 0
Teori Moral

Teori Teori Moral

1.0 Pendahuluan

    Pada umumnya, ahli-ahli falsafah percaya bahawa perkataan moral ditujukan kepada makhluk-makhluk yang rasional sahaja. Dan ianya tidak ditujukan kepada makhluk yang tidak berpandukan kepada prinsip-prinsip rasionaliti. Sebagai contoh, perbuatan-perbuatan haiwan yang ‘tidak senonoh’ yang dilakukan secara terbuka tidak kita takrifkan sebagai ‘tidak bermoral’ tetapi perbuatan yang sama apabila dilakukan oleh manusia yang rasional akan dinyatakan sebagai kelakuan yang tidak bermoral. Oleh itu, takrifan moral akan hanya ditujukan kepada manusia yang boleh berkelakuan sejajar dengan prinsip-prinsip serta peraturan yang menstrukturkan atau mengarahkan rupa bentuk tingkah laku (UUM 1992). Dalam erti kata lain, perkataan ‘moral’ akan hanya digunakan ke atas makhluk yang berupaya menahan serta menstrukturkan keinginan, kemahuan serta kehendak mereka dengan berdasarkan kepada prinsip-prinsip rasionaliti.

    Sebagai kesimpulannya moral boleh dilihat sebagai satu produk sosial yang terhasil dari kebiasaan dan kepentingan diri manusia. Ianya juga didorong oleh kepekaan mengenai apa yang betul dan apa yang harus. Ini bermakna bahawa manusia dalam sesebuah masyarakat akan menggariskan bentuk tingkah laku yang bermoral dengan berpandukan kepada sumber-sumber tertentu seperti agama, kepercayaan, atau adat turun temurun untuk dijadikan sebagai panduan kepada tingkah laku anggota-anggota masyarakat. Fahaman mengenai konsep moral yang dipegang oleh sesebuah masyarakat juga akan berubah. Pendapat-pendapat baru mengenai perilaku bermoral akan membawa kepada kewujudan teori-teori moral yang baru. Teori ini pula memuatkan kriteria khusus bagi pengaplikasian konsep moral yang tepat dan dengan itu membekalkan asas kepada penilaian kelakuan moral yang kukuh. Penulisan ini akan cuba menganalisa beberapa teori penting yang ada hubungan dengan moral manusia. Di antara teori yang dibincangkan adalah seperti di bawah.

2.1 Teori Kebaikan Dalam Etika

     Perkataan etika dan moral adalah dua perkataan yang saling berkait, dan ramai penyelidik dalam bidang ini serta ahli-ahli falsafah sering menggunakan maksud yang sama bagi kedua-dua perkataan ini. Menurut Rorzali (2001) etika tidak bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan suatu falsafah moral yang mengambilkira tindakan atau tingkahlaku manusia. Rorzali (2001) menjelaskan lagi

    etika juga merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul. Secara keseluruhannya etika boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu normatik yang merujuk kepada panduan dan peraturan yang ada hubungan dengan tingkahlaku yang baik dan jahat. Manakala metatethic pula boleh dipecahkan kepada dua iaitu analitik yang menganalisa semua peraturan yang berkaitan dengan tingkahlaku baik dan jahat serta kritikal yang berkaitan dengan mengkritik terhadap apa sahaja yang telah dianalisis. Dengan lain perkataan,etika dapat didefinisikan sebagai sains moral dan prinsip-prinsip moral.

     Teori ini berkaitan dengan tindakan, hujah dan tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu tindakan. Roszali (2001) ada menyatakan etika kebaikan yang ada hubungkait dengan teori ini menjelaskan tentang penyemaian akhlak mulia dalam sifat seseorang sebagai fungsi asas perlakuan moral. Roszali (2001) menjelaskan lagi etika kebaikan adalah berkaitan dengan sifat-sifat semulajadi, tabiat yang dimiliki oleh seseorang atau keinginan yang dimilikinya.Moral kebaikan boleh dikatakan sebagai sifat semulajadi yang kekal, tabiat yang berkaitan dengan moral yang terpuji. Berdasarkan penjelasan yang kesimpulan boleh dibuat bahawa kebaikan adalah berhubung dengan kualiti dalaman yang dimiliki oleh seseorang dan dilihat menerusi aktiviti sehariannya .

2.2 Teori Moral W.D. Ross

    Ross berpendapat teori sepatutnya dapat mengikut fakta walaupun teori itu menjadi sesuatu yang mudah. Fakta yang dinyatakan di dalam teori ini adalah sesuatu yang memberi keyakinan kepada mereka yang berfikir dan berpendidikan tinggi. Ada beberapa elemen penting yang dapat dilihat melalui teori ini ialah hubungan semulajadi yang di antara individu mempunyai nilai moral yang signifikan seperti hubungan di antara suami dan isteri, ayah dan anak serta seberhutang dengan sipemiutang. Setiap hubungan yang wujud ini merupakan apa yang digelar oleh Ross (1992) sebagai tanggungjawab semulajadi. Menurut Ross (1992) tanggungjawab semulajadi ini membantu individu untuk membuat keputusan yang bermoral berdasarkan kepada situasi di mana individu itu terlibat. Ross (2001) juga menjelaskan pengalaman yang telah lepas biasanya membantu individu untuk membuat keputusan yang bermoral dalam setiap situasi yang dilalui. Sebagai contoh masalah yang wujud apabila mungkir kepada janji akan membantu individu untuk membuat keputusan yang betul apabila ia membuat janji pada situasi yang lain.

    Mengelakkan kezaliman berdasarkan pengalaman yang lepas akan pentingnya keadilan dalam kehidupan manusia.

     Selain dari itu Ross (2001) ada menyatakan pengalaman akan membina sikap yang bermoral di dalam diri individu untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik. Ross (2001) juga ada menjelaskan individu akan mempunyai azam untuk memperbaiki keadaan dan sikap berdasarkan pengalaman yang lepas.

2.3 Teori Moral Kant

    Manakala melalui teori Kant, Janusz (2001) menjelaskan bahawa Kant berpendapat rentetan dari sesuatu tindakan bukanlah apa yang menentukan samada sesuatu tindakan itu bermoral atau tidak. Janusz (2001) juga menjelaskan penentuan nilai sesuatu tindakan sebenarnya bergantung kepada motif sesuatu tindakan itu dibuat. Sebagai contoh jika seseorang itu memulangkan barang yang telah hilang kepada tuan punya yang sebenar maka dia telah melakukan satu perbuatan yang bermoral. Walaubagaimanapun sekiranya ia memulangkan barang tersebut dengan motif supaya ia dipuji maka motif perbuatannya telah menjadikan perbuatannya sesuatu yang tidak bermoral. Melalui contoh ini Janusz (2001) ingin menunjukkan teori Kant menjelaskan bahawa perbuatan yang bermoral itu sebenarnya banyak bergantung kepada motif dimana perbuatan tersebut dilaksanakan.

     Janusz (2001) juga menjelaskan melalui teori ini Kant berpendapat melakukan perbuatan dari motif yang bermoral selalunya didorong oleh keinginan untuk melakukan motif tersebut. Janusz (2001) juga menyatakan sesuatu perbuatan yang dibina dari keinginan adalah satu perbuatan yang dibentuk dari keyakinan bahwa ianya adalah perbuatan yang betul. Kant berpegang kepada prinsip bahawa peraturan menjadi asas kepada prinsip-prinsip yang rasional. Sifat utama yang ada pada peraturan saintifik ialah ianya bersifat universal. Sebagai contoh gas akan berkembang apabil ianya dipanaskan. Berdasarkan pegangan ini Janusz (2001) menyatakan Kant berpendapat bahawa prinsip atau peraturan moral perlulah bersifat universal. Kant juga menegaskan bahawa untuk menentukan prinsip moral ianya perlulah bersifat universal dan diterima oleh umum. Apa sahaja yang dianggap bermoral oleh masyarakat umum bolehlah dijadikan sebagai asas kepada penentuan nilai moral kepada sesuatu perbuatan. Sebagai contoh mungkir janji dianggap sebagai satu perbuatan yang tidak bermoral oleh umum maka ianya boleh dijadikan sebagai panduan dalam penentuan nilai moral apabila seseorang itu membuat janji.

     Janusz (2001) juga menjelaskan bahawa Kant berpendapat bagi memudahkan individu untuk melakukan perbuatan yang bermoral maka ianya perlulah memuliakan insan yang lain. Sifat untuk menghormati dan memuliakan manusia yang lain akan dapat mewujudkan pertimbangan yang rasional yang akhirnya menghalakan perbuatan kepada sesuatu yang bermoral. Janusz (2001) juga ada menyatakan bahawa Kant berpendapat sesuatu perbuatan akan menjadi lebih bermoral apabilanya dibuat atas dasar tugas yang telah diberikan. Sebagai contoh seorang yang menjalankan tugas sebagai doktor atas dasar untuk membantu pesakit supaya beliau akan menjadi doktor yang ternama boleh membentuk satu amalan yang tidak bermoral. Dasar kepada pekerjaan beliau ialah untuk membantu mereka yang berada di dalam kesusahan dan ini akan membentuk perbuatan yang bermoral. Secara keseluruhannya asas kepada perbuatan bermoral melalui teori Kant banyak bergantung kepada niat dan motif perbuatan tersebut dibina.

2.4 Teori Moral Mill

    Teori berpegang kepada prinsip asas utilitarian (Mill 2001). Pegangan utama kepada teori ialah sesuatu yang akan memberikan manafaat dan faedah terhadap apa sahaja yang telah dibuat. Menurut Mill (2001) sesuatu perbuatan itu adalah benar sekira ianya dapat memberikan kegembiraan. Sebaliknya menurut Mill (2001) lagi sesuatu perbuatan itu adalah salah sekiranya ia tidak mendatangkan kegembiraan. Kegembiraan akan mendatangkan kepuasan dan menolah kesakitan hati sementara kesedihan tidak mendatangkan kepuasan dan mendatangkan kesakitan hati. Menurut Mill (2001) sesuatu kepuasan itu akan membentuk nilai yang tinggi berbanding dengan yang lain. Kepuasan dan kegembiraan adalah penting dalam membantu individu untuk membuat keputusan. Mill (2001) berpendapat kegembiraan menjadi asas kepada segala sistem penilaian. Apa yang dimaksudkan kegembiraan oleh Mill (2001) ialah beberapa perkara seperti kasih, wang, kuasa dan kemasyhuran. Secara umumnya teori ini menekankan kepada kepuasan individu itu sendiri dalam menentukan samada sesuatu perbuatan itu bermoral atau tidak.

2.5 Teori Nasihat Imam Ghazali

    Nasihat adalah merupakan aspek yang penting dalam kehidupan manusia bagi membentuk perbuatan yang baik ke arah kehidupan yang bermoral. Nasihat adalah konsep Qur'ani yang muncul di beberapa tempat dalam al-Qur'an, terutama di tempat-tempat yang dijadikan rujukan tentang tujuan dan fungsi kenabian (Sabiluna 1999). Nasihat harus dibezakan dengan teguran, karena keduanya mungkin

    mempunyai aspek-aspek yang sama dan mungkin mempunyai kesan yang berbeza (Sabiluna 1999). Menurut Al-Ghazali, perbezaan prinsip antara nasihat dengan teguran adalah bahwa yang satu bersifat rahsia dan bersopan, sementara yang kedua bersifat terbuka (Sabiluna 1999). Di sini, pendapat Imam Al-Ghazali sesuai dengan Imam Asy-Syafi'i yang menyatakan bahwa jika seseorang menasihati saudaranya dengan diam, ia telah memberi saudaranya itu suatu nasihat, tetapi jika ia telah memberi saudaranya itu nasihat secara terbuka, ia telah mengejek dan memalukan saudaranya itu (Sabiluna 1999). Nasihat tidak boleh digunakan untuk membuka rahsia dan kelemahan orang dan nasihat harus sesuai dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah dan bukan pada spekulasi, perkiraan, dan prasangka (Sabiluna 1999). Nasihat yang tidak ikhlas tidak mempunyai nilai dan akan embentuk satu perbuatan yang tidak bermoral dan ianya akan menjadi lebih tidak bermoral sekiranya nasihat itu dibina atas dasar kesombongan dan bangga diri. Untuk itu bagi membentuk nasihat efektif bagi melahirkan nilai-nilai murni dalam diri manusia maka ianya perlulah didorong dengan keyakinan moral. Maksud ini hanya akan dapat dicapai jika pemberi nasihat tidak takut dengan kehilangan kedudukan dan keuntungan material (Sabiluna 1999). Sumber terbesar di dalam teori ini bagi membentuk nasihat yang berkesan untuk melahirkan insan yang bermoral ialah keyakinan kepada Allah dan keyakinan bahawa hanya Dia-lah yang menentukan nasib setiap insan (Sabiluna 1999).

2.6 Teori Kohlberg

     Pendekatan teori ini berdasarkan kepada kajian yang telah dibuat oleh Lawrence Kohlberg, di mana melalui teori ini beliau berpendapat bahawa moral seseorang individu berkembang mengikut beberapa tahap berdasarkan kepada kelakuan mereka (Power et al. 2000). Menurut Kohlberg (2001) ada tiga tahap yang perlu dilalui oleh seseorang untuk mampu bersikap adil dan mengembangkan sikap dan perbuatan berdasarkan pertimbangan moral iaitu :

a.Tahap Moral Prakonvensional

    Pada tahap ini dasar yang membentuk sikap dan tingkahlaku adalah pujian dan penilaian yang diberikan oleh persekitaran. Sikap yang dikeji oleh persekitaran tidak akan dilakukan lagi manakala perbuatan yang mendapat pujian akan sentiasa diulang.

b.Tahap Moral Konvensional

    Pada tahap ini tingkahlaku seseorang bergantung kepada suasana persekitaran di mana seseorang itu berada. Sikap dan tingkahlaku yang dibina perlulah diletakkan di dalam suasana persekitaran yang baik untuk memastikan seorang itu akan menjadi warga masyarakat yang baik.

c. Tahap Moral Pascakonvensional.

    Pada tahap ini prinsip-prinsip moral digunakan dalam erti yang lebih luas. Prinsip

    prinsip moral tidak hanya menjurus kepada nilai yang dibentuk oleh masyarakat yang tertentu.

    Pada umumnya tingkahlaku masyarakat terbahagi dalam tiga kelompok di atas yang dipengaruhi oleh proses perkembangannya. Tingkat kematangan peribadi seseorang menentukan nilai moral yang membentuk tingkahlakunya.

3.0 Kesimpulan

    Tanggungjawab, prinsip moral dan kebaikan bermoral bukanlah suatu yang bertentangan antaranya untuk dibuat pilihan tetapi merupakan perkaitan dalam aspek tingkah laku yang bermoral. Biar apapun bentuk teori dan falsafah yang dipegang kehidupan bermoral adalah asas kepada natijah dari setiap teori yang dinyatakan di atas. Memiliki ciri-ciri kebaikan yang berlandaskan kepada panduan dan peraturan moral di atas membolehkan seseorang itu untuk membentuk dirinya mencapai peringkat berakhlak mulia dan seterusnya dapat bertindak ke arah kebaikan menerusi alasan-alasan dan berdasarkan persekitaran yang wujud.

Rujukan

    Janusz, Sharon. Kant’s Moral Theory (atas talian)

     http://cs.cca.cccoes.edu/phil112/Kant.htm (2 Julai 2001)

    Mill, J.S. 1863. Utilitarianism. (atas talian)

     http://www.utilitarianism.com/mill1.htm (1 Julai 2001)

    Power et al. 2000. A summary of Lawrence Kohlberg’s stages of moral development.

    (atas talian)

     http://www.nd.edu/~rbarger/kohlberg.html (2 Julai 2001)

    Roszali Salleh .Teori kebaikan dalam etika. (atas talian)

    http://members.tripod.com/~payung/etika.htm (1 Julai 2001).

    Ross, W.D. W. D. Ross's Moral Theory. (atas talian)

     http://www.hu.mtu.edu/~tlockha/hu329ov8.htm (30 Jun 2001)

Ross, W.D. 1992. Prima Facie Duty in Great Traditions in Ethics.Ed. ke 7. Belmont:

    Wadsworth.

    Sabiluna. 1999. Nasihat. (atas talian)

     http://members.tripod.com/~bimcrot/messages/nasihat.html (2 Julai 2001) Sidi, I.P.S & Setiadi,B.N. Manusia Indonesia Abad 21 yang Berkualitas Tinggi Ditinjau

    Dari Sudut Pandang Psikologi. (atas talian)

    http://www.himpsi.org/Makalah%2005.htm (3 Julai 2001)

    Universiti Utara Malaysia. 1992. Nilai moral dan etika. (atas talian)

    www.uum.edu.my/ppp/etika3043.htm (1 Julai 2001).

Report this document

For any questions or suggestions please email
cust-service@docsford.com